Monday, October 12, 2009

PERHITUNGAN PENGUNDI SABAH PADA PRU - 13

Dalam apa jua perkara, yang pasti kekal berterusan berlaku ialah suatu perubahan. Dan perubahan itu akan terjelma dalam pelbagai bentuk; termasuklah pemikiran dan pentafsiran. Begitulah juga mengenai kaedah untuk membuat sebarang keputusan. Demikianlah juga dengan kedinamikan politik. Semuanya serba berkemungkinan. Ketika ini, Negeri Sabah dan Sarawak diperkatakan sebagai kubu kuat BN. Ini bukan lagi suatu andaian malah kebenaran kerana sekiranya Sabah dan Sarawak mengalih sokongan kepada PR, kerajaan BN akan pasti tumbang. .Negeri Sarawak adalah sebaris dengan Selangor. Kukuh dan setia kepada BN dari dulu lagi sejak kewujudan BN. Kesetiaanya tidak pernah pudar yang memudaratkan BN. Tinggal lagi Selangor sudah melakar perubahan lanskap politik baru. Nampaknya,ia akan menerajui suatu perubahan besar dan drastik, dasar-dasar yang terbaru seperti pemberian air secara percuma, bantuan kepada setiap keluarga bagi setiap kelahiran bayi, pemberian wang ehsan bagi urusan pengebumian jenazah dan juga setiap kemasukan pelajar ke dalam institusi pengajian tinggi.


Status negeri Sabah berbeza sedikit dan tidaklah sama dengan Sarawak. Sebabnya ialah kerajaan negeri Sabah pernah keluar daripada BN sebanyak dua kali. Sekali semasa kerajaan USNO dan sekali semasa kerajaan PBS. Apa pun kedua-duanya mempunyai alasan yang kukuh. Ia keluar bukanya sembarangan tetapi berperhitungan dan berprinsip. Persoalannya sekarang ialah apakah kesetiaan dan kekuatan kedua-dua Negeri itu ini dapat diterjemahkan dalam PRU-13 nanti?
Justeru itu penulis ingin menyingkap sejenak apakah kebangkarangkalian yang menjadi perhitungan penting kepada rakyat Sabah dan Sarawak pada masa itu kelak.


PERUBAHAN LANSKAP POLITIK ASIA
Negara matahari terbit Jepun dilanda perubahan politik. Parti LDP yang memerintah selama 50 tahun telah tumbang. Sekarang Jepun mempunyai sebuah kerajaan baru yang kebanyakannya dianggotai oleh generasi baru. Negara jiran, Indonesia yang terpimpin sistem demokrasinya berubah menjadi lebih bebas lantas kerajaan yang diktaktor ditolak rakyat dan kepimpinan kerajaan bertukar tangan. Dasar pemerintah telah digubal dan Negara Indonesia terus berubah. Suatu masa dulu, Filipina juga melalui proses perubahan daripada kediktaktoran berubah kepada sistem pendemokrasian sebenar. Penggal dan tempoh seseorang presiden untuk memegang kuasa dihadkan. Thailand juga mendepani perubahan. Malaysia dan Singapura sahaja yang masih dapat bertahan dengan kerajaan asal mereka setakat ini. Suatu perubahan itu jikalau tidak ditangani secara berhemah akan mendepani tekanan dan kekangan sehingga terbentuknya sebuah kerajaan baru. Demikianlah skesta politik Asia. Ia terus mengamit perubahan.


ASPIRASI DAN HARAPAN BARU
Pertukaran sesebuah kerajaan itu bersebab. Rakyat mengidamkan sesuatu pembaharuan sistem pentadbiran. Rakyat mahu sesuatu transformasi dan reformasi terhadap berberapa perkara seperti sistem kehakiman yang adil. Rakyat mahukan perubahan sistem pendidikan, Rakyat juga mahukan dasar menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) yang lebih baik. Rakyat sudah bosan dengan kegiatan rasuah. Rakyat mahukan pengurusan ekonomi yang lebih mampan. Rakyat mahukan sebuah dasar yang adil kepada semua kumpulan masyarakat. Bermacam-macam kemahuan dan pembaharuan yang diidami oleh rakyat jelata. Demikianlah aspirasi dan harapan baru rakyat Malaysia.
Kerajaan juga akan menjanjikan dan melaksanakan pelbagai kemudahan, dasar dan juga menggariskan halatuju Negara yang terbaik. Tetapi yang terpenting ialah tanggungjawab kearah sebarang pembaharuan dasar serta perlaksanaanya mestilah berintegriti. Sekiranya tidak, sekiranya tidak maka ia akan menjadi sia-sia sahaja kerana rakyat akan terus memburu pembaharuan serta sentiasa mempertikaikan dasar-dasar reformasi yang dilaksanakan. Pendek kata kerajaan berdepan dengan krisis keyakinan.


INTEGRTI TERCEMAR
Persoalannya sekarang ialah bagaimana mampukah kerajaan memulihkan integritinya terhadap semua perlaksanaan dasar-dasarnya? Selama 550 hari berlalu sejak PRU-12, sudah banyak perkara yang terbongkar dan mendapati terdapat banyak perkara-perkara yang tidak betul dan menjijikkan. Perlakuan rasuah dan penyelewengan didalam PKFZ yang berbillion ringgit. Penyalahgunaan kuasa dan kesilapan pendekatan kaedah-kaedah penyiasatan SPRM, sehingga mengakibatkan kematian seseorang saksi seperti Teoh Beng Hock semasa penyiasatan SPRM. Krisis politik Perak telah menjadi bahan lawak di media-media antarabangsa daripada sistem demokrasi ke ‘democrazy’. Ia juga mempamerkan krisis didalam sistem kehakiman. Krisis kehakiman ini berlarutan sejak kes V.K. Lingam. Pemalsuan kerakyatan oleh jabatan pendaftaran dan pemberian Mykad di Sabah masih tidak ada penghujungnya. Ini adalah satu manifestasi penderhakaan kepada perlembagaan Malaysia.
Sekarang rakyat Malaysia di Sabah dan dan Sarawak tidak hanya mengundi berpaksi kepada isu-isu tempatan sahaja tetapi ia akan melihat dan membuat perhitungan kepada isu-isu nasional serta perkembangan politik semasa. Jikalau rakyat di Sabah misalnya hanya mahu mengundi BN berdasarkan kepada jumlah pemberian projek yang berjuta atau berbilion ringgit tetapi isu PTI tidak terkawal maka ia sekali-kali tidak menyelesaikan permasalahan di Sabah. Rakyat merasa tertipu. Justeru itu, rakyat sudah mula mempersoalkan dan berfikiran kritis bahawa kerajaan BN tidak komited didalam menyelesaikan PTI di Sabah. Krisis keyakinan seperti inilah yang menjadi paksi bermulanya pertikaian dasar kerajaan dan ahkirnya menjuruskan kepada krisis keyakinan. Sudahlah BN menghadapi berbagai krisis di Semenanjung yang bersabit dengan dasar, krisis politik parti-parti kompenen BN, masalah di Sabah pula terus terabai. Sabah sudah lama memperjuangkan haknya seperti yang termaktub didalam “Perjanjian Malaysia” tetapi semuanya itu terlepas pandang atau apakah mungkin kepemimpinan tidak merasakan tidak ada keperluan untuk menunaikanya. Maka bayangkan dengan perubahan dan kematangan rakyat Sabah dan Sarawak berpolitik sekarang, betapa besar dan rumitnya cabaran yang didepani oleh BN dalam PRU-13 nanti!. Sudah pasti rakyat Sabah akan membulat tekad mencari alternatif terbaik.



SIFIR POLITIK LAMA BERGEMA

Mengikut ilustrasi sejarah, Sarawak belum pernah menubuhkan sebuah kerajaan baru sejak penggulingan kerajaan pimpinan mendiang Dato Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua Menteri atas bantuan kerajaan pusat ketika itu. Masyarakat Dayak di Sarawak telah mengalami gelombang kebangkitan di bawah pimpinan Leo Moggie dan Daniel Tajem namun kesepaduan politik Dayak itu terpecah. Apa pun generasi baru mula berubah dan lebih condong kepada perubahan baru. Politik Sarawak kini sedang berubah kearah suatu keterbukaan kepada parti-parti nasional. Bukan senang kita melihat masyarakat Iban dan Dayak menyertai parti dari Semenanjung tetapi kini perubahan sudah bermula. Ramai Dayak dan Iban sudah menyertai PKR. Suatu ketika dulu UMNO beria-ia tetapi segan serta menghormati Mohd Taib. Mungkin kerana tertarik dengan politik balak dan tanah. Tetapi Sarawak memang tangkas politiknya untuk memintas. Gelombang kebangkitan penduduk bumi Kenyalang yang majority rakyatnya terdiri daripada suku kaum Dayak sudah bergema semula. Sentimen ‘agi hidup agi ngalaban’ sudah berkumandang dengan tiupan angin perubahan menjejaki keadilan.



TEKA-TEKI POLITIK DISABAH
UMNO Sabah tetap utuh dan ramai yang menjangkakan ia boleh menubuhkan kerajaan negeri secara bersendirian. Kekuatan UMNO adalah dikalangan masyarakat Bumiputra Islam. Sebenarnya tidak ada Melayu tulen di Sabah. Melayu celup dan sadoran memang terlalu ramai. Tetapi apa pun Sabah ini unik. Pola integrasinya sejak dulu memang terunggul diseluruh Negara. Yang mengkucar-kacirkannya ialah politik dan orang politik. Tetapi berdasarkan keputusan pilihanraya yang lalu, terdapat ramai juga bilangan pengundi Islam yang mengundi pembangkang cuma tidak mencukupi untuk memenangi sesuatu kawasan. Samalah dengan sesetengah kawasan di Semenanjung apabila berlaku pertembungan UMNO dan PAS. Tetapi masyarakat Islam di Sabah juga bukan bacul,ia sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa. Mereka juga mengikuti perkembangan politik di Semenanjung. Tinggal lagi dapatkah mereka melepaskan diri dengan ikatan politik pembangunan dan lumayan dalam nilai ratusan ribu ringgit kepada kader-kader politik cawangan dan bahagian khususnya di dalam Bajet 2010. Apakah mungkin Bumiputra Islam di Sabah akan terus bergayut dalam kapal yang sedang menghadapi suasana kebocoran yang tidak mungkin dapat ditampal dalam masa yang singkat dan berkemungkinan karam. Begitulah persepsi umum. Apakah perkiraan dan sifir politik dalam situasi begini. Sewajarnya kematangan mengatasi emosi.

POLITIK KDM
Masyarakat KDM kini berada dalam kebingungan dan lebih condong kepada pembangkang. Ini bukan kerana pemimpin KDM tidak baik atau tidak bersungguh–sungguh melayani masyarakat dan pengundi mereka tetapi sekarang mereka mempunyai pilihan dan peluang memilih kearah pembetulan dasar-dasar yang mereka inginkan. Seperti penyelesaian isu-isu pendatang tanpa izin. Perjanjian Malaysia. Perkara yang bersabit dengan skim perjawatan atau Borneonisasi. Dasar pelayanan yang adil kepada semua kaum dan agama dalam pelbagai perkara. Apapun khususnya dikalangan generasi muda KDM sudah menunjukkan minat kearah perubahan kepada sesebuah dasar kerajaan. Bagi mereka,perubahan dasar sesebuah Negara itu hanya dapat dicapai secara efektif dan dinamik melalui sebuah kerajaan baru di peringkat persekutuan. Tidak ada jaminan ia dapat dilakukan sekiranya BN masih berkuasa di pihak persekutuan. Begitulah persepsi ketika ini.

Parti-parti politik KDM ialah PBS, UPKO dan PBRS. Parti kompenen BN ini begitu berhati-hati. Mereka semua tahu kedudukan BN di KL. Cuma mereka mahu melihat pada ‘timing’ yang betul dan tepat. Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin tidak mahu kelihatan menjadi membelakangi BN buat kali kedua. UPKO juga tidak mahu sembarangan keluar kerana jika tidak menentu nanti tempatnya kelak diperlekehkan oleh seteru lama PBS, kerana BN Pusat akan memperkukuhkan kedudukan yang satu pihak dan situasi itu merugikan pihak UPKO. Bayangkan jikalau UPKO keluar dan tempatnya diambil alih oleh PBS didalam apa jua kapasiti baik di persekutuan,negeri atau badan-badan berkanun bukan mudah baginya menyaingi PBS. Tetapi jikalau kedua-duanya berada didalam BN, sudah tentu sama-sama berpeluang memperkukuhkan kedudukan masing-masing. Kalau pun ada frustrasi maka kedua-duanya merasa sama.

PEMBAHAGIAN KERUSI
Jikalau dahulu, formula pembahagian kerusi inilah yang boleh membawa kedua-dua parti ini sujud kepada UMNO Sabah, khususnya Ketua Menteri selaku ketua perhubungan BN Sabah dan formula ini jugalah yang boleh memecah dan membelah-bahagikan politik masyarakat KDM dimana suasana melobi pembahagian kerusi ini yang boleh memaksakan kepimpinan parti KDM berlembut, berkompromi, bertolak ansur dan ahkirnya berkesudahan dengan keakuran kearah kesetiaan yang membuta dan kelibat politik membisu begitu mujarab, tetapi, kini iklim politik negara tidak lagi begitu mengizinkan suasana sedemikian. Kerana,jangkar dan sauh politik BN khususnya UMNO di Semenanjung tidak lagi kukuh. Apa yang kemungkinan boleh berlaku pada pasca countdown PRU-13 nanti ialah salah satu daripada parti KDM itu akan mengambil tindakan keluar daripada BN. Banyak persepsi dan reaksi yang memberangsangkan terhadap teori dan aspirasi sebegini. PBRS itu hanya mengharap ehsan semata-mata. Tokoh politik KDM yang sedang menyinar semula didalam PR ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari parti PKR.


SENI POLITIK KUNGFU DAN TAI CHI MASYARAKAT CINA
Masyarakat Cina di Sabah akan terus berkungfu dan bertaichi berulang alik ke KL mengadap Najib untuk memohan ehsan darinya bagi mengemukakan pendirian masing-masing keatas beberapa kawasan Cina untuk ditandingi dalam PRU-13. MCA, Gerakan dan LDP akan berunding dan berebut kerusi di kawasan bandar dimana terdapat majoriti masyarakat Cina. MCA tentu minta tambah kawasan. ketika ini, LDP adalah taiko besar kerana SAPP sudah keluar dari BN. Tetapi jangan lupa kedua-dua taiko politik Cina di Sabah iaitu Tan Sri Chong Kah Kiat dan Datuk Yong Teck Lee sudah mengintai dan berkemungkinan untuk melakukan suatu kejutan dalam melakarkan sejarah politik Cina dalam perubahan lanskap politik Negara. Masyarakat Cina mengikut tinjauan penulis telah pun membuat keputusan dihati. BN juga sedia maklum. Suka hatilah parti-parti Cina dari Semenanjung yang berada dalam BN berebut kerusi. MIC pun boleh tuntut kerusi atas nama BN dan kongsi kuasa. Dalam BN semua ini bisa dan biasa.



KEGERHANAAN BN
Perkembangan dan perubahan lanskap politik Negara masa kini merupakan suatu penanda arah dan arus kebiteraan politik Negara. BN sungguhpun kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, namun ia mencuba melangkah kehadapan dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bahtera BN. Harapan orang muda mahu melihat suatu dasar baru dan falasafah baru Negara sudah ada. Mereka merasakan suatu gerakan permuafakatan politik di Sabah perlu diterjemahkan seperti apa yang dilakarkan di Semenanjung dalam PRU-12. Dari masa recana ini ditulis hanya tinggal 1225 hari lagi PRU-13 paling lewat akan diadakan. Namun PM pada bila-bila masa boleh membubarkan Parlimen. Sesungguhnya kedinamikan UMNO sebagai tunggak BN sudah tercalar kerana ia sudah tewas kepada PAS di peringkat DUN di beberapa buah negeri di mana pengundinya majorti adalah orang Melayu. Pengundi Melayu terbahagi kepada 3 parti.UMNO, PAS dan PKR. Generasi muda Melayu sudah bosan dengan politik kronisme dan sifat feudal. Rakyat sudah bosan dan jijik dengan slogan ‘Ketuanan Melayu’ dan lebih berminat kepada ‘Ketuanan Rakyat’ yang diperkenalkan oleh PR. Kegerhanaan politik BN di KL sudah tentu membawa musibah politik BN ke Sabah. Dahulu, jikalau seorang pemimpin dari Semenanjung mengatakan BN itu kuat dan boleh terus memerintah, rakyat di Sabah dan Sarawak akan percaya bulat-bulat tetapi tidak lagi pada masa ini, sekali pun PM atau Tun Dr. Mahathir yang bercakap mengenai kekuatan BN. Rakyat tidak lagi berkeyakinan kepada BN sepenuhnya.



DINAMIK POLITIK ORANG MUDA
Pakatan Rakyat pula berada dalam suasana yang bersinar dan bertenaga kerana perjuangannya diminati dan didekapi oleh semua golongan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda. Rakyat tidak lagi perlu bertegang leher, tidak perlu meninggi nada suara, tidak perlu berdemonstrasi, Cuma perlu menjaga kesihatan agar dapat melaksakan tugas harian seperti biasa serta tahan kepada apa juga bentuk tekanan, sendiran, gertak, taburan fitnah dan sebagainya sementara terus menguruskan ekonomi masing-masing sebelum ‘countdown’ PRU-13. Kebarangkalian ini mungkin menjadi perhitungan dan realiti politik. Perhitungan penulis ialah masyarakat KDM, Cina, gologan profesional, guru-guru dan para akademik sudah faham perkara ini. Patriotisme generasi muda boleh mengatasi semua bentuk suapan dan pujukan dan jika patriot bangsa bangun melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak bangsa agar kita dapat merakyatkan fakta-fakta sebenar serta mewujukan dasar-dasar sesuai demi pembinaan Negara bangsa menuju kecemerlangan dan kebiteraan politik Negara. PRU-13 adalah satu detik penentuan halatuju Negara!

Monday, January 19, 2009

Isu-Isu Dominan Dalam Pilihanraya Kecil


Tahniah kepada rakyat Terengganu mendapat perakuan pembangunan semasa PRK baru-baru ini. Ucapan yang yang sama juga kita panjangkan kepada PDRM kerana PRK tersebut terkawal dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak bagi imej Negara kita dan kerajaan BN. Kedua-dua kumpulan yang bertanding cukup berhemah dan beradab. Syabas. Kejayaan dan kegagalan adalah suatu perkara yang mempunyai pertautan yang rapat dan kompleks . Kompleksiti itu boleh kita gambarkan melalui perkaitan kewujudan sinaran matahari dan hujan, gunung dan lembah serta bulan dan keadaan pasang surutnya air begitu alam semula jadi memperseimbangkan keadaan dalam dunia sebenar. Begitulah juga keadaan perseimbangan kemanusiaan di alam semesta ini masa susah dan sebaliknya. Justeru itu memang ada kebenaran dan asas yang kukuh bahawa keindahan sesabuah kejayaan itu hargai dengan sepenuh kepuasan dan pengertian apabila sesaorang yang mencapainya itu telah melalui bermacam-macam dugaan dan keperitan semasa menghadapi kecundangan dan kegagalan. Banyak isu-isu kecil dan besar terpaksa dihadapi dan diselasaikan. Bayangkan kepuasan orang-orang yang terdahu dari yang terlibat memerdekakan Negara ini, pahit manis yang lalui YTM Tungku Abdul Rahman sebelum memekikkan laungan Merdeka pada 1957. Nostalgia Negarawan Afrika Selatan Nelson Mandela yang menghabiskan masanya selama 25 tahun didalam penjara kerana menongkah arus membebaskan Afika Selatan daripada dasar ‘apartheid’ yang keji itu memang tidak terkira. Begitu juga dengan AS. Betapa kejinya isu-isu ras diawal sejarahnya. Orang kulit hitam dan orang kulit putih tidak boleh ditempatkan dalam satu bas atau pun sekolah. Isu perkauman tebal sekali pada suatu ketika. Pendekatan AS yang ‘double standard’ jelas terpamer sehingga mada masa ini baik pun dipentas dunia dan isu ini juga menjadi sebahagian daripada agenda Barack Obama didalam kempen semasa pilihanraya Presiden AS baru-baru ini. Apa pun AS melakar lagi satu sejarah dengan memilih seorang rakyat berketurunan kecukan orang kulit hitan dan kulit putih untuk menjadi Presiden mereka. Maka tercapailah impian daripada intipati ‘American Dream’ mereka. Didalam ruangan yang terhad ini penulis terpanggil menyingkap isu-isu yang mendominasi dan mengiringi setiap PRK didalam Negara kita ini.


PRK – Permatang Pauh

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pengundi diikuti suku kaum Cina 14,489 atau 24.79% dan India sebayak 3581 orang atau 0,41%. Profil pengundi mengikut umur adalah seperti berikut; antara 21-35 tahun berjumlah 6.31%; yang berumur 36-60 tahun sebanyak 58.17%; dan 61 tahun keatas 15.53%. Kematangan politik pengundi yang berumur daripada 40-60 tahun adalah penentu kemenangan sesaorang calon. Memang pun Permatang Pauh itu adalah kubu kuat PKR dan sudah tentu kemenangan BN tidak muda tapi tidak mustahil. Isu-isu yang dijajah di PRK-PP adalah sangat panas dan kotor. Bukan saja itu ia Nampak ganas dan condong kepada serangan-serangan peribadi. Anwar jadi sasaran. Bukan sahaja dari BN tetapi juga kumpulan renegade bekas pembantu-pembantu rapatnya. Ezam Mohd Nor dan Saiful. Banyak isu nasional telah dibawah semasa PRK-PP. Isu Pendidikan. Bahasa dan juga isu-isu sensitif seperti isu-isu perkauman. Selain itu isu-isu moral, fitnah serta ketelusan terus dikupas oleh kedua- pihak. Sebenarnya isu yang dipakai semasa dalam PRU-12 itu berterusan didalam pilihan raya kecil. Kenaikan harga minyak serta impaknya terus menjadi perdebatan. Kedua-dua belah pihak kerajaan BN dan PR. Dan PRK–Permatang Pauh dimenangi oleh PKR. Dan ini sememangnya diduga kerana kubu kuat PR.


PRK – Kuala Terengganu

Penulis mengamati bahawa PRK-KT telah mendapat liputan meluas semasa dan selepas keputusan nya maka ianya mendidik pengundi diseluruh Negara tentang situasi tersebut. Pihak media dan TV. Atma Awani telah memberi kupasan meluas begitu juga dengan Bernama. Bukan sekali malah banyak kali bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada tokoh-tokoh wartawan ,akademi dan juga tokoh-tokoh politik sendiri. Jelas bahawa PRK-KT adalah lebih kemas. Penulis dalam kesempatan disana sebelum penamaan calun melihat bahawa rata-rata orang muda mejelaskan sokongan mereka kepada PAS. Orang Melayu profesional (young professional) lebih condong kepada PAS. Penulis ada menyentuh perkara ini dalam pojok yang sama lebih awal mengenai perkara ini. BN telah mengunakan isu-isu yang sama iaitu pembangunan dan mengumumkam beratus juta ringgit peruntukkan kepada rakyat Terengganu. Seluruh jentera BN telah di kerah dengan begitu rapi dan Dato Seri Najib telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan dan menaikkan imej BN. Namun dalam satu temubual dengan seorang tokoh wartawan Kadir Jasin menjelaskan bahawa UMNO belum lagi melakukan suatu ‘post mortem’nya dan melakukan refomasi kepada parti keramat Melayu itu. Beliau menjelaskan bahawa apabila post mortem dilakukan dan mendapati bahawa sesuatu perkara tidak meyebelahinya maka proses penambahbaikan itu diberhentikan. Sedih kata beliau. Keputusan ini telah memberi isyarat jelas dan seterusnya membawa implikasi serta impak kepada dua buah negeri di Malaysia Timur Sabah dan Sarawak. Keputusan di KT itu jelas menunjukan bahawa BN adalah satu gabungan politik yang sedang dalam kepayahan. Sabah dan Sarawak mesti melihatnya dan melakukan suatu muhasabah diri dengan penuh hati-hati. Kekuatan BN sebenarnya bepaksi kepada sokongan Sabah dan Sarawak. UMNO di semenanjung sedang mengalami ketirisan keyakinan dan sokongan. Ini pendapat sebilangan pemmbicara dan ahli panel dalam beberapa diskusi politik didalam TV. Penulis yakin jikalau Pemimpin UMNO menyelami semua ini tinggal lagi enggan berkongsi seikhlasnya dengan sekutunya yang lain. Isu –isu nasional telah mendominasi PRK-KT. Pilihanraya Kecil berlaku di K.T itu telah menunjukkan trend yang sama.Ia menjurus kepada isu-isu national. Royalti minyak, rasuah, pendidikan dan hokum hudud. PRK-KT ini amat penting kepada kedua-dua pihak untuk mengemudi organisasi masing-masing ke tahap yang lebih jauh. Dalam perjalanan kempen PRK-KT ia melakar sesuatu hala tujuh yang. Yang itu menghala kepada sistem Dwi-Parti. BN dan PR.

Sesungguhnya kedua-dua PRK di Permatang Pauh dan KT telah dengan sendirinya mengemaskinikan jentera kedua-dua pihak. Kerajaan telah pun mengemukakan dasar-dasar masa depannya untuk menarik seramai pengundi berdaftar. BN mengumumkan projek-projek yang bernilai berbillion. Dan yang memeranjatkan di PRK-KT adalah jumlah kehadiran polis yang begitu ramai. Syukur, selamat dan kemas. Rakyat pun telah membuat pilihan dan keputusan.Ia memihak kepada PAS dan PR. Tahniah. Tahniah kepada pasukan polis .Tahniah kepada rakyat Terengganu sebab Demokrasi yang berintigriti.Apa yang berlaku di Semenanjung, pasti akan diperhatikan oleh pengundi di Sabah dan di Sarawak.


Deklarasi Tambunan

Sebelum pilihanraya umum yang lalu pemimpin dan pemikir KDM Datuk Dr.Jeffrey Kitingan telah mebuat kajian dan membukukanya. Buku tersebut “Keadilan Untuk Sabah”. Ia diantaranya menghuraikan sebahagian daripada matalamat yang dan agenda Deklarasi Tambunan.
Agenda tersebut telah dipersetujui olih Ketua Umum Pakatan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim untuk dilaksanakan apabila Berjaya menubukan sebuah kerajaan baru. Perkara ini dijelaskan Anwar didalam ucapannya malah didalam sidang akhbarnya.
Ini telah menjadi satu paksi harapan rakyat Sabah menyokong PR yang diketuai oleh Sdr. Anwar. Ia menjadi suatu gagasan perjuangan yang menarikh minat ramai kerana ianya menuju kearah perubahan sesuatu dasar. Penulis melihat bahawa pertukaran sesabuah dasar itu berlaku apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan serta perlaksanaannya pula lebih dinamik dan drastik dengan penubuhan sebuah kerajaan baru yang telah memperakukan agenda tersebut .
Didalam deklarasi tersebut terdapat 7 teras agenda. Pertama; Melaksanakan 20 perkara yang masih relevan dan Akta Malaysia. Kedua; melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sama ada dari Sabah atau Sarawak. Ketiga; menaikkan royalti minyak daripada 5% kepada 20%. Keempat; menambah (a) peranan Sabah dalam kabinet persekutuan, (b) menambah kerusi Parlimen di Sabah, (c) menambah peranan Sabah didalam kedutaan Malaysia mengikut formula yang patut. Kelima; mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk memastikan hak-hak kedaulatan dan Rukun Negara terjamin dan terperlihara termasuk penyiasatan masaalah pendatang tanpa izin. Keenam; menubuhkan Suruhanjaya Nasional Anak Negeri dan Keistemewaan anak-anak Negeri di Malaysia. Ketujuh; ialah membenarkan sabah mengariskan Agenda pembangunan dan ekonominya sendiri. Deklarasi ini juga sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan 8 teras perjuangan parti SAPP.


Keistimewaan Sabah Tersurat Tapi Tidak Serap

Banyak perkara yang begitu menyedihkan apabila Keistemewaan Negeri Sabah yang hak dan patut disisih dan dilepas pandang. Sehubungan ini penulis merasa sugul apabila menginbau kembali pemergian beberapa pemimpin Sabah yang terkorban dalam nahas double-six di sembulan pada 1976 dahulu. Diantaranya Alahyarham Tun Fuad Stephen, Datuk Salleh Sulong, mendiang Datuk Peter Mojuntin, Datuk Darius Binion serta rakan mereka yang lain. Mereka terkorban selapas beruding peratusan royalti minyak didalam satu mesyuarat yang di adakan di Labuan.
Perkara 11 dalam 20 perkara “Borneo Utara” (Sabah) mempunyai bidang kuasa untuk mengawal tarif. Perkara ini masih sah dan relevan. Kerajaan negeri Sabah mesti berunding dengan kerajaan persekutuaan untuk mencari formula pembahagian hasil dengan adil dan saksama.
Bahagian iv 2(1) seterusnya menyatakan “ in the case of Sabah,a grant amount of an equal in each year to two-fifth of the amount by which the net revenue derived by the federation from Sabah exceeds the net revenue which would have been so derived in 1963 if--
i.the Malaysia Act had been in operation in that year as in the year 1964 and ii. The next revenue for the year 1963 were calculated without regard to any alteration of any tax or fee made on or after Malaysia Day. “Net Revenue” meaning for this purpose the revenue which accrues to thru Federation, less the amounts received by the State in respect of any assignments of that revenue.
Dalam hal ini, sepatutnya Sabah menerima 40% daripada hasil yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan dari Sabah selepas di tolak apa yang Sabah telah kutip berdasarkan kepada hasil yang ditetapkan. Sebenarnya Sabah sepatutnya mengutip seperti berikut: Untuk minyak sahaja, Kerajaan Persekutuan melalui Petronas telah mengutip tidak kurang dari RM 75 Billion sejak 1976. Maka Sabah sepatutnya telah menerima 40% atau 2/5 daripada jumlah kurang daripada hasil yang dikutip Negeri atau Petronas atau [ RM75 billion- 5%(75)]= RM 29 billion!
Mengikut Datuk Dr. Jeffrey, “Sabah tidak akan maju dan berkembang selagi kekayaannya dibahagi dengan 12 bahagian dan hanya menerima 1/13 daripada kekayaanya. Pembahagian hasil negeri yang adil ialah membahagikan kekayaaan negeri dengan dua; setengah bagi negeri Sabah dan setengah lagi untuk Persekutuan. Namun yang praktikal ialah 1/3. Penulis mengamati bahawa kita tidak dapat memperseimbangkan ekonomi dan memperkukuhkan negeri-negeri dengan menidakkan sesuatu yang hak kepada negeri-nergeri yang nyata berhak. Terkini Raja Muda Perak telah bertitah dalam satu majlis “menegas kan bahawa sekiranya pelaksanaan DEB telah dilaksanakan seperti yang digariskan oleh pemimpin terdahulu sperti Tun Dr. Ismail sudah tentu tidak banyak yang mempersoalkannya.” Jelas disitu bahawa Perlaksanaan Dasar DEB tersebut telah menyimpang daripada landasan terawal.


PRU-13

Sama ada akan ada satu lagi pilihanraya dalam masa terdekat ini atau tidak sudah pasti isu-isu yang di bangkitkan dalam PRK di Semenanjung akan menular ke Sabah dan Sarawak. Rakyat di Pensiangan sebenarnya begitu gairah menunggu keputusan Mahkamah Tinggi. Begitulah juga rakyat di Sarawak, kini mereka telah pun mendapat isyarat akan kedudukan sebenar senario politik Negara. Mereka sudah tentu mengarabkan perkiraan tersendiri tentang hala-tuju politik mereka. Inilah kebaikan teknologi maklumat dimana perkembangan dapat diikuti dimerata pelusuk Negara ini. Isu-isu pelayanan kerajaan persekutuan tetap akan panas diperbualkan. Sarawak adalah kubu kuat BN dan ini adalah yang terpenting bagi kerajaan persekutuan. Kekuatan BN di Sarawak tidak boleh tidak dipertahankan. Sekiranya berlaku sesuatu disebalik maka kerajaan Persekutuan akan lebih goyah dan rapuh seperti belah menunggu retak. Kerajaan BN sewajarnya melakukan muhasabah diri tentang apa boleh dan dapat diperbaiki untuk memulihkan imej dan kekuatan BN. Sayugia diingatkan bahawa Rakyat memerhatikan dengan sepenuh minat, begitu generasi muda. Kumpulan profesional, peniaga dan orang kebanyakan. PR juga sewajarnya tidak boleh alpa dengan kemenangan kecil. Penyeragaman serta kerjasama mereka masih longgar. Apa pun PRU-13 sudah pasti hangat diperbincangkan selari dengan perbincangan kemuraman ekonomi sejagat.

Monday, January 5, 2009

MENYINGKAP SEJENAK " ARUS KECERMELANGAN DAN KEBITERAAN POLITIK NEGARA "

Perubahan akan terus berlaku. Demikian juga cabarannya. Ia perlu didepani dengan pelbagai pendekatan sesuai. Keselamatan, ketelusan, keharmonian kaum dan kesejahteraan hidup rakyat adalah isu-isu yang terus manghambat dan menuntut pemerhatian serius. Semua isu tersebut memberi pengajaran tertentu dan harus diambil kira semasa membentuk dasar pendidikan negara. Berikutan dengan kemuraman ekonomi sejagat kerajaan kita telah merangka pakej stimulus untuk menempis impak tekanan kegawatan yang dijangka. Seluruh dunia mengharapkan bahawa kesuburan ekonomi dunia akan pulih sepantasnya. Sekali gus perkara ini memberi impak dalam politik. Saya didalam ruangan ini menyingkap sejenak arus kecemerlangan dan kebiteraan politik negara.


Peralihan Kuasa

Tahun 2008 berlalu dengan sejarahnya. Perkembangan politik terus berlaku. Dan didalam tahun 2009 ini, kita akan menyaksikan suatu detik yang bersejarah iaitu peralihan kuasa yang dijadualkan pada Mac 2009. Kepastian agenda besar ini diperkukuh lagi dengan kemenangan Dato Seri Najib tanpa bertanding didalam proses pemilihan UMNO pada bulan Mac nanti. Suatu proses peralihan yang tidak kurang cemerlang tetapi ianya bukan suatu kejadian dengan penuh kerelaan yang sejati. Banyak faktor penyebabnya. Bermula dari keputusan PRU-12. Persepsi dan reaksinya berlarutan sehinggalah pada detik rencana ini ditulis. Apapun kita memerhati perkara ini dengan teliti dan mengharapkan ia berlaku dengan teratur dan beradab. Semoga ia menjadi satu modul yang sukses dan berwibawa.


Ujian

Setiap pemimpin tidak terlepas daripada ujian dan cabaran. Semua ini memerlukan kesabaran, kebijaksanaan, kesungguhan dan ketahanan. Jikalau disingkap peristiwa yang telah dilalui oleh Tun Dr.M semasa ia dipuncak kepemimpinan selama dua dekad banyak pengajaran boleh didapati. Ada yang baik dan ada juga yang kurang menyenangkan. Ada dua timbalannya terpaksa berundur. Tun Musa dan Tun Ghafar. Satu lagi dipecat dan dipenjara. Tetapi yang terpecat dan terpenjara bangkit, bangun dan bergerak semula. Malah didalam penjara pun ngaumannya terus bergema. Kembali dengan idealisma yang berintegriti sungguhpun berterusan dipalitkan dengan pelbagai fitnah sehinggalah pada detik ini. Kontroversi Dr. Mahathir berlaku sehinggalah pada hari ini. Isu kehakiman belum reda. Dalam politiknya, UMNO sendiri pernah terbubar dan dihidup semula. Beliau pernah dipecat, masuk semula dan bertapak dipuncak sebagai ‘supreme’. Berundur dengan penuh dramatis. Di era beliau, dianggap sebagai jurucakap dunia membangun, kritis dan lantang dipentas antarabangsa. Suatu ketika dilihat sebagai Aset Negara tetapi liabiliti kepada UMNO dan BN. Di Sabah sendiri yang bertentangan dengan perlembagaan pun boleh terjadi seperti penggiliran Ketua Menteri. Ketahanannya teruji. Apa pun nama Malaysia terpahat dalam lanskap politik dunia. Ada yang baik dan tidak kurang yang perlu diperbaiki. Dalam detik beliau berundur BN pun mulai layu. Beliau memilih Abdullah Badawi, timbalannya sebagai pengganti. Abdullah bereputasi peramah. Kesetiaannya pada UMNO tidak lemah. Terberhenti dari menteri, selepas pemilihan parti UMNO kerana berada di Team B. Ia terus berhemah. Tidak berjawatan menteri pun masih boleh memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Apabila dipilih oleh Dr. Mahathir sebagai pengganti harapan rakyat begitu tinggi, beliau berjaya mengemudi UMNO dan BN dalam PRU-11 dengan kejayaan yang cemerlang. Terengganu ditebus semula dan Kelantan juga hampir-hampir ditawan. Projek-projek mega yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir dibeku. Pembekuan ini beralasan tetapi Dr. Mahathir menganggap ia sebagai pemungkiran janji. Slogan Ahmad Badawi ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ terus popular berkumandang. Sehingga terukir dalam syair dan lagu patriotik. Seperti diketahui, negarawan tersohor, Mahathir tidak meminggirkan diri dari terus berinteraksi dengan masyarakat terus bersuara. Beliau mencadangkan agar Abdullah Badawi berundur akibat daripada kecundangan BN dalam PRU-12. Tekanan terus melebar dari suara kecil sehinggalah peringkat teratas. Pak Lah mempercepatkan laluan 2010 ke 2009. Itu pun ada suara mahu dipercepatkan. Ahmad Badawi berkompromi pada bulan Mac. Beliau juga mengikut tradisi, menamakan timbalannya sebagai pengganti. Dia adalah PM yang terkenal dengan sikap keterbukaan serta ketulusannya. Beliau tidak bersifat authoritarian. Kesungguhan dan kejayaan beliau untuk mencadangkan dua Bil di Parlimen mengenai kehakiman dan BPR adalah suatu kejayaannya yang besar. Dua akta ini diharapkan boleh memulih imej Negara namun perkara ini masih dipertikai oleh sesetengah pihak. Justeru itu, kita mengharapkan ia tidak lagi disalahgunakan oleh pihak yang berwajib.

Dato Seri Najib bersiap sedia kurang dari 100 hari dari sekarang menghampiri kedudukan tertinggi negara. Beliau juga cukup berpengalaman, cukup arif dengan pertahanan negara termasuklah keperluan dan kelengkapan ketenteraan. Selama ini perajurit dan bekas perajurit terbela. Dalam masa menunggu peralihan kuasa, beliau sudah dipertanggungjawabkan dalam kementerian kewangan. Mengurus ekonomi negara. Beliau juga sejak akhir ini banyak dikaitkan dengan kontroversi serta konspirasi. Ini merupakan suatu cabaran yang besar.

Tetapi harus diingat, sejarah yang dialami oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman, PM pertama yang terpaksa turun dari kuasa akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Begitu juga jika kita membaca sejarah Tun Razak sendiri berkaitan peralihan kuasa ketika itupun tidak semudah yang disangka. Baca saja buku memoir yang berjudul ‘Nota dari London’ yang ditulis oleh Datuk Abdullah Ahmad iaitu ahli politik daripada Kelantan. Begitu juga peralihan kuasa daripada Tun Hussein kepada Dr. Mahathir. Semua ini adalah suatu bentuk ujian kepimpinan yang tidak kurang memberi tauladan dan pengajaran.



Implikasi Politik Wang – Wasiat Dr. Mahathir

Pada tanggal 19 Jun 1994, bekas Presiden UMNO didalam ucapannya memperingatkan perwakilan UMNO tentang implikasi politik wang.

“Di dalam Parti UMNO, sekiranya kita menerima politik wang adalah sesuatu yang lumrah dan tidak boleh diketepikan lagi maka sudah tentu pada dasarnya mereka yang terpilih adalah dikalangan orang yang kaya-raya dan kumpulan yang menghalalkan dan membenarkan rasuah juga membawa erti bahasa pucuk pimpinan UMNO adalah terdiri daripada penjenayah”.

Beliau juga mengingatkan dan bertanya bahawa, dapatkah rakyat diyakini bahawa pemimpin kerajaan yang rasuah itu dapat mentadbir Negara secara adil, ikhlas dan jujur? Dalam masa yang sama – Dr. Mahathir berkata bahawa hanya mereka yang tidak berfikiran waras akan percaya bahawa pentadbiran yang diketuai oleh penjenayah sahaja yang boleh memberi kebahagiaan dan kemajuan kepada rakyat dan Negara.

Justeru itu, kita tepuk dada sendiri tanya apakah jenis barisan kepimpinan yang terpilih sekarang ini?



Pilihanraya Kecil KT - Berimplikasi Besar

Ujian Najib berulang lagi diawal 2009. Hasrat memenangi Permatang Pauh dalam (PRK) pilihanraya kecil gagal. Kini PRK-KT perlu dimenangi. Kerusi KT adalah kerusi UMNO/BN. Calon BN dalam PRK-KT bukan calang-calang. Seorang Senator, berjawatan Timbalan Menteri. Pengerusi bahagian UMNO, Kuala Terengganu. Bekas pemuda UMNO. Calon terbaik UMNO. Dalam PRU-12, BN menang tipis sebab itulah PRK-KT dianggap sengit. Kemenangan besar BN dalam PRK-KT adalah satu kemenangan moral politik BN. Ia boleh memperbaiki imej BN itu sendiri. Itupun jikalau menang.

Menang satu undi pun menang juga. Jikalau menang sedikit pun sudah tentu memberi erti yang besar kepada Menteri Penerangan Malaysia kerana beliau adalah anak jati Terengganu. Baru-baru ini beliau telah menyatakan bahawa PKR bermimpi disiang hari untuk mengambil ahli Putrajaya.

Sekiranya keputusan PRK-KT memihak kepada Pas, PKR akan tumpang sekaki diatas kemenangan itu dan kemenangan itu pula akan membawa impak yang besar kepada Sarawak dan Sabah. Mengapa ia begitu penting kepada pemilih Sabah dan Sarawak? Keputusan PRK-KT akan menjadi isyarat kepada pemilih di kedua-dua buah negeri ini yang menjadi lubuk dan kubu kuat BN. Jikalau Sabah dan Sarawak menjadi kubu kuat BN, mengapa pula PRK-KT menjadi mustahak seolah-olah penentu. Keputusan PRK-KT penting sebab, semasa PRU-12 dulu, bagi Sabah dan Sarawak, BN bukan mudah dikalahkan di Semenanjung. Kesetiaan Sarawak kepada BN begitu tebal. Manakala Sabah pula masih mengalami fobia politik semasa PBS berada diluar BN.

Jikalau dikaji sebenarnya Sabah tidak janggal dengan sebarang pertukaran kerajaan kerana Sabah sudah menukar kerajaan beberapa kali. Kerajaan Perikatan, USNO, Berjaya, PBS dan BN. Biasanya perubahan selera politik di negeri Sabah boleh dibaca.

Setelah lanskap politik negara berubah dengan keadaan 5 buah negeri dikuasai PR dan jika keputusan PRK-KT memihak kepada Pas, ia akan membawa implikasi yang tidak kurang hebatnya di Sabah dan Sarawak. Ia akan mengubah persepsi dan reaksi, khususnya pengundi baru dan muda. Dan kewujudan kerajaan PR adalah tidak mustahil.



Risikan penulis – PRK-KT

Penulis berkesempatan untuk berada di Terengganu baru-baru ini dan mendapati beberapa cerita menarik. Di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, 2 kawasan DUN adalah dimenangi oleh PAS. Pengundi-pengundi Cina adalah dalam sekitar 20 ribu. Dan Kuala Terengganu ini merupakan kawasan Bandar. Pengundi-pengundinya juga berfikiran terbuka serta bermaklumat. Risikan penulis ialah masyarakat Cina di Kuala Terengganu merasakan bahawa pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang begitu meyakinkan dan masyarakat Cina sudah tentu menunggu beberapa petuah-petuah politik sebagai petunjuk siapakah yang harus dipilih di PRK-KT. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng & Karpal Singh sudah pasti akan turun menemui mereka. Bayangkanlah gerakan mereka dan halatuju mereka dalam PRK-KT ini. Di kawasan ini juga terdapat 6 ribu guru yang menjadi pengundi disitu dan penulis mendapati bahawa kebanyakan mereka lebih condong kepada calon Pas.

Dalam masa yang sama, pilihan calon pada kali ini ialah Wahid Endot adalah anak tempatan yang memenangi 1 daripada DUN dalam Parlimen KT yang sudah menjadi ADUN selama 5 penggal berturut-turut dan mempunyai 1 personaliti yang dinamik. Tentu dalam PRK-KT ini, gerakan BN akan lebih hebat lagi daripada yang di Permatang Pauh sebab dia mempertahankan kerusinya. Mengikut cerita orang kebanyakan semasa PRU-12 yang lalu, ada sebanyak 1,500 orang Pas tidak begitu bersetuju dengan calon Pas dulu kerana mereka mahu seorang calon tempatan atau anak jati Terengganu. Namun pada kali ini aspirasi itu ditunai. Di dalam masa yang sama pula, gerak kerja BN khususnya Wanita UMNO sudah diarah bersatu hati bagi menjalankan tugas dan arahan ini diperhatikan tetapi bukan sesuatu yang mudah. Semua pun faham. PM sendiri sudah memberi arahan jangan berkempen untuk diri sendiri, arahan ini ada kaitan dengan pemilihan UMNO sendiri pada bulan Mac yang akan datang. Elemen-elemen yang ada kaitan dengan cantas-mencantas didalam UMNO sendiri kedengaran. Jikalau kita bercakap bersama dengan pemimpin UMNO, suatu perkara yang lumrah di setiap pemilihan parti dalam UMNO, dalam kertas, BN mempunyai peluang tetapi dalam risikan penulis, Pas & PR mempunyai harapan yang besar. Begitulah proses demokrasi.



Tinjauan Penulis – di Sabah

Tinjauan penulis mengenai persepsi pelbagai kelompok masyarakat di Sabah adalah berbeza-beza. Masyarakat Islam di seluruh negeri ini yang telah menyertai UMNO tidak mudah membuat keputusan untuk membuat pilihan selain UMNO. Ada beberapa faktor-faktor mereka berbuat demikian. Diantaranya ialah UMNO ini adalah part Islam. Pemimpin UMNO adalah orang Islam. Disamping itu pula mereka mahu ketua menteri itu orang Islam. Indoktrinasi ini telah terpacak didalam hati sejak awal dulu oleh pemimpin terawal mereka seperti Tun Mustapha, Tun Said, Tun Sakaran dan kader-kader mereka semenjak memerdekakan negeri ini dahulu dan membina negara Malaysia. Bahtera perjuangan dahulu ialah Usno. Apabila Usno terbubar akibat perhitungan politik Kuala Lumpur serta teknikal politik yang lain maka dengan sendirinya UMNO berkeupayaan melebarkan sayapnya dan bertapak di negeri ini dengan cukup gah. Slogannya cukup menarik iaitu memertabatkan kekuasaan Islam. Strategi yang paling ampuh. Kuasa politik, pembangunan dan habuan projek serta limpahan kewangan terus menjadi sasaran. Perkara ini baik, halal dan glamor. Ini bukan baru malah telah lama berakar didalam intipati pengisian kemerdekaan. Evolusi perubahan tetap bergerak dan manusia terus memadankan dan menyesuaikan diri jikalau tidak terpingir oleh perubahan itu sendiri. UMNO tidak mudah dikalahkan di Sabah dalam PRU-13 akan datang. Bukan mudah tetapi tidak mustahil. Dengan gelombang perubahan politik serta lanskap politik terlakar sekarang ini semua kumpulan membuat perhitungan berpaksikan kepada fakta-fakta serta agenda-agenda yang digarab sesuai dan relevan dengan keperluan semua pihak.
Kelompok lain pun sudah membuat sifir politiknya yang tersendiri. Rakyat sudah menghafal sifir politik yang kurang sihat. Masyarakat Cina di Sabah sudah merasakan kehadiran pelbagai jenama parti baik yang berpusat di Sabah atau KL cukup memeriahkan BN di Sabah. Tetapi UMNO tetap UMNO. Jikalau SAPP tetap berada dalam BN ia tidak mungin dinamik dan efektif. Ianya hanya sebagai penyeri politik. Ia perlu melakarkan perjuangan sejati. Sekarang masyarakat Cina di Sabah sudah memuktamadkan pilihan akan datang. Penulis mengamatinya dengan lawatan diseluruh pekan dan pusat bandar bahawa ianya begitu jelas. Ibarat kata pepatah lama orang-orang Dusun 'tunduk-tunduk kerbau dalam masa mengangguk dan tunduk hanya menuggu masa melaksanakan tandukan'.

Dikalangan masyarakat KDM pula mereka boleh ditemui disemua parti-parti politik baik didalam BN atau pembangkang. Lihat sahaja didalam parti BN sendiri. Mereka berada dalam UMNO dan Pas. Mereka boleh menyesuaikan diri. Apa motifnya penulis faham. KDM juga ada didalam MIC sebab berkahwin dengan orang India. Apa lagi MCA lebih serasi, kerana berada dalam BN, parti kerajaan. Penulis juga mengamati bahawa mereka terpecah didalam tiga Parti. PBS, UPKO dan PBRS. Pengalaman ini cukup berharga kata mereka. KDM pernah bersatu dalam PBS. Kini kedengaran sudah gelombang kebangkitan mereka dan masyarakat KDM khusunya orang muda, yang telah bersara dari jabatan kerajaan dan para graduan bahawa ‘pembentukan kerajaan baru' didalam PRU-13 akan datang adalah agenda terbaik. Itulah hakikatnya sekarang. Lagu ini begitu menggamit dan menarik. Formulanya mudah sahaja kata mereka. Tidak perlu keluar parti. Tidak perlu istihar lawan kerajaan. Semuanya telah dirasai. Pahit, tersisih dan disisih. Terpinggir dan dipinggir. Tidak perlu rasa rendah diri tetapi bangkit bersama dengan gelombang perubahan yang ada sekarang. Ini suatu evolusi proaktif dan progresif. Tahniah. Berbisiklah dengan penuh beradab dan berdoalah kearah kebaikan perubahan dan keadilan sesama rakyat negara ini serta perlaksanaan perjanjian Malaysia sejati.



Pilihanraya Dun Sarawak

Negeri Sarawak adalah kubu kuat BN. Tidak pernah tewas. Politik negeri Sarawak ada sejarahnya yang tersendiri. Peristiwa yang ada kaitan dengan personaliti pemimpin terawal mereka Dato Stephen Kalong Ningkan begitu mencuit perasaan kepada setiap pelajar undang-undang di universiti tempatan. Jikalau dilihat sebenar jumlah penduduk terbesar Sarawak adalah suku kaum Dayak. Bangsa Dayak Sarawak didalam hati kecil mereka mahu memimpin negeri Sarawak. BN Sarawak setakat ini belum tergugat dan belum tercemar. Sarawak tidak mahu melihat dimana ia menjadi macam Sabah. Itulah sentimen dan senjata politik BN Sarawak.

Sungguhpun pilihanraya Dun Sarawak masih jauh pada 2010 namun bahangnya sudah terasa. Pemimpin-pemimpin parti politik Sarawak sedang meneliti dan mengikuti perkembangan BN di Semenanjung. Mereka meneliti apakah 5 buah negeri yang dikuasai PR boleh dikuasai semula oleh BN. Sebenarnya Sarawak lebih mantap dari Sabah dari segi ekonominya. Ketua Menterinya ditentukan oleh orang Sarawak sendiri. Ia bukan ditentukan oleh Kuala Lumpur. Perkara ini menjadi satu isu yang hangat, perbandingan suka atau tidak, sememangnya pemimpin politik dikedua-dua buah negeri ini sering bertukar maklumat dan pendapat. Orang Sabah pun mempunyai perasaan dan bertanya sesama mereka mengapa perkara sebegini berlaku. Jadi Parti Nasional yang mahu bertapak di Sarawak akan mengambil kira perkiraan politik sebegini. Rumit tapi benar. Parti PBB adalah parti dominan. SNAP adalah parti terawal namun sudah hilang kuasa malah terbelah kepada SPDP. PBDS adalah satu parti yang cukup kuat sudah terbubar kini menjadi PRS. PBB sebenarnya merupakan sebuah gabungan sokongan Melanau dan Iban. Kalau dilihat didalam kertas, kawasan PRS, SPDP dan Iban di PBB sebenarnya Dayak dengan sendirinya mendominasi gelanggang politik Sarawak. Dan masyarakat Cina macam juga di Sabah, kawasannya sedikit tetapi menjadi pencatur utama. Setelah hampir setengah abad perubahan minda pemimpin Dayak sentiasa bergema dan bergelora untuk mencapai ke puncak pimpinan negeri. Semangat ‘Agi Idup, Agi Ngelaban’ tetap membara. Justru itu, keputusan PRK-KT tetap menjadi paksi inspirasi politik Sarawak.
Iktibar Dari Kehadiran UMNO Di Sabah

Dalam pojok yang sama di media yang sama pada bulan Mac tahun lalu, penulis telah menyatakan bahawa pengundi Sabah tidak menjangkakan keputusan PRU-12 sedemikian rupa. Rakyat telah dihambat dengan suatu sindrom kesetiaan membuta dan mungkin masih mengalami fobia politik semasa PBS berada di luar BN.

Namun kehadiran UMNO di Sabah banyak juga pengajarannya. Seperti yang dilalui sekarang ini, jikalau rakyat Sabah dan Sarawak mengamatinya secara mendalam ia akan menjadi pencorak dan pencatur utama di dalam menentukan kepimpinan politik negara. Lihat saja dalam proses pemilihan UMNO sekarang ini, siapa saja perwakilan daripada Sabah pilih, calon tersebut akan mempunyai peluang yang cerah. Ini kan baru di Sabah. Jikalau kedua-duanya sekali tentu lebih menarik.

Jikalau dibandingkan UMNO dan PKR di Sabah penulis berpendapat bahawa PKR mungkin menerima sokongan yang kuat sebab ia adalah parti berbilang kaum. Sesungguhnya selera ini sudah berputik dan meluas. Ditambah pula ketua umumnya menjanjikan pemerkasaan Perjanjian Malaysia agar dihormati dan dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah satu tarikan harapan kepada pengundi-pengundi di Sabah. Kita yakin begitu juga di Sarawak. Dan banyak lagi.



Sistem Dwi Parti

Baru-baru ini Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin menyatakan di Sabah bahawa kerajaan akan menjadi telus dengan adanya sistem dwi parti, BN dan PR. Walaupun system dwi parti ini ialah isu yang basi tetapi hakikatnya, ia mulai diterima. Saya bersetuju dengan pandangan ini. Sungguhpun BN adalah gabungan pelbagai parti apabila dalam pilihanraya, ia menggunakan simbol yang sama. Manakala dalam PR pula menggunakan lambang berasingan tetapi cuba mencorakkanpertanding satu lawan satu dalam PRU-12.

Keberhasilan ‘electoral understanding’ Pas, PKR dan DAP di Semenanjung begitu meyakinkan dan kekalutan di Sabah membawa suatu pengajaran untuk PRU-13. Dan orang-orang Sabah harus mengambil ikhtibar semasa PRU-12 yang lalu.



Dasar Negara

Pengurusan negara akan terus diperbaiki daripada masa ke semasa. Dasar sesebuah negara boleh diperbaiki melalui pertukaran pucuk pemimpin. Pertukaran pucuk pemimpin kelak akan menggarapkan barisan kepimpinan kabinetnya sebagai satu pasukan. Mungkin juga melibatkan diperingkat negeri. Ini adalah suatu perkara lumrah dalam politik. Setelah kerajaan menjangkau pemerintahan selama lebih setengah abad, banyak perubahan telah berlaku. Dengan arus perkembangan sistem Dwi-Parti serta perubahan selera politik dan juga minda rakyat, kemunculan PR sebagai pilihan adalah suatu perkembangan elemen yang sihat. Ini merupakan suatu arus kecemerlangan dan kebiteraan politik negara serta elemen Pembangunan Negara Bangsa. Penulis mengucapkan selamat tahun baru dan teruskan perjuangan dengan agenda baru.
‘Didalam melaksanakan setiap agenda ada 3 jenis manusia. Pertama adalah orang yang berusaha merealisasikan agenda. Kedua ialah kumpulan yang hanya melihat usaha orang lain dan ketiga ialah kumpulan yang hanya berangan-angan apa yang akan terjadi’. Ini adalah ilham daripada Kemmons Wilson, pengasas, Holiday Inn. Begitulah juga dalam politik.