Monday, January 5, 2009

MENYINGKAP SEJENAK " ARUS KECERMELANGAN DAN KEBITERAAN POLITIK NEGARA "

Perubahan akan terus berlaku. Demikian juga cabarannya. Ia perlu didepani dengan pelbagai pendekatan sesuai. Keselamatan, ketelusan, keharmonian kaum dan kesejahteraan hidup rakyat adalah isu-isu yang terus manghambat dan menuntut pemerhatian serius. Semua isu tersebut memberi pengajaran tertentu dan harus diambil kira semasa membentuk dasar pendidikan negara. Berikutan dengan kemuraman ekonomi sejagat kerajaan kita telah merangka pakej stimulus untuk menempis impak tekanan kegawatan yang dijangka. Seluruh dunia mengharapkan bahawa kesuburan ekonomi dunia akan pulih sepantasnya. Sekali gus perkara ini memberi impak dalam politik. Saya didalam ruangan ini menyingkap sejenak arus kecemerlangan dan kebiteraan politik negara.


Peralihan Kuasa

Tahun 2008 berlalu dengan sejarahnya. Perkembangan politik terus berlaku. Dan didalam tahun 2009 ini, kita akan menyaksikan suatu detik yang bersejarah iaitu peralihan kuasa yang dijadualkan pada Mac 2009. Kepastian agenda besar ini diperkukuh lagi dengan kemenangan Dato Seri Najib tanpa bertanding didalam proses pemilihan UMNO pada bulan Mac nanti. Suatu proses peralihan yang tidak kurang cemerlang tetapi ianya bukan suatu kejadian dengan penuh kerelaan yang sejati. Banyak faktor penyebabnya. Bermula dari keputusan PRU-12. Persepsi dan reaksinya berlarutan sehinggalah pada detik rencana ini ditulis. Apapun kita memerhati perkara ini dengan teliti dan mengharapkan ia berlaku dengan teratur dan beradab. Semoga ia menjadi satu modul yang sukses dan berwibawa.


Ujian

Setiap pemimpin tidak terlepas daripada ujian dan cabaran. Semua ini memerlukan kesabaran, kebijaksanaan, kesungguhan dan ketahanan. Jikalau disingkap peristiwa yang telah dilalui oleh Tun Dr.M semasa ia dipuncak kepemimpinan selama dua dekad banyak pengajaran boleh didapati. Ada yang baik dan ada juga yang kurang menyenangkan. Ada dua timbalannya terpaksa berundur. Tun Musa dan Tun Ghafar. Satu lagi dipecat dan dipenjara. Tetapi yang terpecat dan terpenjara bangkit, bangun dan bergerak semula. Malah didalam penjara pun ngaumannya terus bergema. Kembali dengan idealisma yang berintegriti sungguhpun berterusan dipalitkan dengan pelbagai fitnah sehinggalah pada detik ini. Kontroversi Dr. Mahathir berlaku sehinggalah pada hari ini. Isu kehakiman belum reda. Dalam politiknya, UMNO sendiri pernah terbubar dan dihidup semula. Beliau pernah dipecat, masuk semula dan bertapak dipuncak sebagai ‘supreme’. Berundur dengan penuh dramatis. Di era beliau, dianggap sebagai jurucakap dunia membangun, kritis dan lantang dipentas antarabangsa. Suatu ketika dilihat sebagai Aset Negara tetapi liabiliti kepada UMNO dan BN. Di Sabah sendiri yang bertentangan dengan perlembagaan pun boleh terjadi seperti penggiliran Ketua Menteri. Ketahanannya teruji. Apa pun nama Malaysia terpahat dalam lanskap politik dunia. Ada yang baik dan tidak kurang yang perlu diperbaiki. Dalam detik beliau berundur BN pun mulai layu. Beliau memilih Abdullah Badawi, timbalannya sebagai pengganti. Abdullah bereputasi peramah. Kesetiaannya pada UMNO tidak lemah. Terberhenti dari menteri, selepas pemilihan parti UMNO kerana berada di Team B. Ia terus berhemah. Tidak berjawatan menteri pun masih boleh memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Apabila dipilih oleh Dr. Mahathir sebagai pengganti harapan rakyat begitu tinggi, beliau berjaya mengemudi UMNO dan BN dalam PRU-11 dengan kejayaan yang cemerlang. Terengganu ditebus semula dan Kelantan juga hampir-hampir ditawan. Projek-projek mega yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir dibeku. Pembekuan ini beralasan tetapi Dr. Mahathir menganggap ia sebagai pemungkiran janji. Slogan Ahmad Badawi ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ terus popular berkumandang. Sehingga terukir dalam syair dan lagu patriotik. Seperti diketahui, negarawan tersohor, Mahathir tidak meminggirkan diri dari terus berinteraksi dengan masyarakat terus bersuara. Beliau mencadangkan agar Abdullah Badawi berundur akibat daripada kecundangan BN dalam PRU-12. Tekanan terus melebar dari suara kecil sehinggalah peringkat teratas. Pak Lah mempercepatkan laluan 2010 ke 2009. Itu pun ada suara mahu dipercepatkan. Ahmad Badawi berkompromi pada bulan Mac. Beliau juga mengikut tradisi, menamakan timbalannya sebagai pengganti. Dia adalah PM yang terkenal dengan sikap keterbukaan serta ketulusannya. Beliau tidak bersifat authoritarian. Kesungguhan dan kejayaan beliau untuk mencadangkan dua Bil di Parlimen mengenai kehakiman dan BPR adalah suatu kejayaannya yang besar. Dua akta ini diharapkan boleh memulih imej Negara namun perkara ini masih dipertikai oleh sesetengah pihak. Justeru itu, kita mengharapkan ia tidak lagi disalahgunakan oleh pihak yang berwajib.

Dato Seri Najib bersiap sedia kurang dari 100 hari dari sekarang menghampiri kedudukan tertinggi negara. Beliau juga cukup berpengalaman, cukup arif dengan pertahanan negara termasuklah keperluan dan kelengkapan ketenteraan. Selama ini perajurit dan bekas perajurit terbela. Dalam masa menunggu peralihan kuasa, beliau sudah dipertanggungjawabkan dalam kementerian kewangan. Mengurus ekonomi negara. Beliau juga sejak akhir ini banyak dikaitkan dengan kontroversi serta konspirasi. Ini merupakan suatu cabaran yang besar.

Tetapi harus diingat, sejarah yang dialami oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman, PM pertama yang terpaksa turun dari kuasa akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Begitu juga jika kita membaca sejarah Tun Razak sendiri berkaitan peralihan kuasa ketika itupun tidak semudah yang disangka. Baca saja buku memoir yang berjudul ‘Nota dari London’ yang ditulis oleh Datuk Abdullah Ahmad iaitu ahli politik daripada Kelantan. Begitu juga peralihan kuasa daripada Tun Hussein kepada Dr. Mahathir. Semua ini adalah suatu bentuk ujian kepimpinan yang tidak kurang memberi tauladan dan pengajaran.



Implikasi Politik Wang – Wasiat Dr. Mahathir

Pada tanggal 19 Jun 1994, bekas Presiden UMNO didalam ucapannya memperingatkan perwakilan UMNO tentang implikasi politik wang.

“Di dalam Parti UMNO, sekiranya kita menerima politik wang adalah sesuatu yang lumrah dan tidak boleh diketepikan lagi maka sudah tentu pada dasarnya mereka yang terpilih adalah dikalangan orang yang kaya-raya dan kumpulan yang menghalalkan dan membenarkan rasuah juga membawa erti bahasa pucuk pimpinan UMNO adalah terdiri daripada penjenayah”.

Beliau juga mengingatkan dan bertanya bahawa, dapatkah rakyat diyakini bahawa pemimpin kerajaan yang rasuah itu dapat mentadbir Negara secara adil, ikhlas dan jujur? Dalam masa yang sama – Dr. Mahathir berkata bahawa hanya mereka yang tidak berfikiran waras akan percaya bahawa pentadbiran yang diketuai oleh penjenayah sahaja yang boleh memberi kebahagiaan dan kemajuan kepada rakyat dan Negara.

Justeru itu, kita tepuk dada sendiri tanya apakah jenis barisan kepimpinan yang terpilih sekarang ini?



Pilihanraya Kecil KT - Berimplikasi Besar

Ujian Najib berulang lagi diawal 2009. Hasrat memenangi Permatang Pauh dalam (PRK) pilihanraya kecil gagal. Kini PRK-KT perlu dimenangi. Kerusi KT adalah kerusi UMNO/BN. Calon BN dalam PRK-KT bukan calang-calang. Seorang Senator, berjawatan Timbalan Menteri. Pengerusi bahagian UMNO, Kuala Terengganu. Bekas pemuda UMNO. Calon terbaik UMNO. Dalam PRU-12, BN menang tipis sebab itulah PRK-KT dianggap sengit. Kemenangan besar BN dalam PRK-KT adalah satu kemenangan moral politik BN. Ia boleh memperbaiki imej BN itu sendiri. Itupun jikalau menang.

Menang satu undi pun menang juga. Jikalau menang sedikit pun sudah tentu memberi erti yang besar kepada Menteri Penerangan Malaysia kerana beliau adalah anak jati Terengganu. Baru-baru ini beliau telah menyatakan bahawa PKR bermimpi disiang hari untuk mengambil ahli Putrajaya.

Sekiranya keputusan PRK-KT memihak kepada Pas, PKR akan tumpang sekaki diatas kemenangan itu dan kemenangan itu pula akan membawa impak yang besar kepada Sarawak dan Sabah. Mengapa ia begitu penting kepada pemilih Sabah dan Sarawak? Keputusan PRK-KT akan menjadi isyarat kepada pemilih di kedua-dua buah negeri ini yang menjadi lubuk dan kubu kuat BN. Jikalau Sabah dan Sarawak menjadi kubu kuat BN, mengapa pula PRK-KT menjadi mustahak seolah-olah penentu. Keputusan PRK-KT penting sebab, semasa PRU-12 dulu, bagi Sabah dan Sarawak, BN bukan mudah dikalahkan di Semenanjung. Kesetiaan Sarawak kepada BN begitu tebal. Manakala Sabah pula masih mengalami fobia politik semasa PBS berada diluar BN.

Jikalau dikaji sebenarnya Sabah tidak janggal dengan sebarang pertukaran kerajaan kerana Sabah sudah menukar kerajaan beberapa kali. Kerajaan Perikatan, USNO, Berjaya, PBS dan BN. Biasanya perubahan selera politik di negeri Sabah boleh dibaca.

Setelah lanskap politik negara berubah dengan keadaan 5 buah negeri dikuasai PR dan jika keputusan PRK-KT memihak kepada Pas, ia akan membawa implikasi yang tidak kurang hebatnya di Sabah dan Sarawak. Ia akan mengubah persepsi dan reaksi, khususnya pengundi baru dan muda. Dan kewujudan kerajaan PR adalah tidak mustahil.



Risikan penulis – PRK-KT

Penulis berkesempatan untuk berada di Terengganu baru-baru ini dan mendapati beberapa cerita menarik. Di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, 2 kawasan DUN adalah dimenangi oleh PAS. Pengundi-pengundi Cina adalah dalam sekitar 20 ribu. Dan Kuala Terengganu ini merupakan kawasan Bandar. Pengundi-pengundinya juga berfikiran terbuka serta bermaklumat. Risikan penulis ialah masyarakat Cina di Kuala Terengganu merasakan bahawa pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang begitu meyakinkan dan masyarakat Cina sudah tentu menunggu beberapa petuah-petuah politik sebagai petunjuk siapakah yang harus dipilih di PRK-KT. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng & Karpal Singh sudah pasti akan turun menemui mereka. Bayangkanlah gerakan mereka dan halatuju mereka dalam PRK-KT ini. Di kawasan ini juga terdapat 6 ribu guru yang menjadi pengundi disitu dan penulis mendapati bahawa kebanyakan mereka lebih condong kepada calon Pas.

Dalam masa yang sama, pilihan calon pada kali ini ialah Wahid Endot adalah anak tempatan yang memenangi 1 daripada DUN dalam Parlimen KT yang sudah menjadi ADUN selama 5 penggal berturut-turut dan mempunyai 1 personaliti yang dinamik. Tentu dalam PRK-KT ini, gerakan BN akan lebih hebat lagi daripada yang di Permatang Pauh sebab dia mempertahankan kerusinya. Mengikut cerita orang kebanyakan semasa PRU-12 yang lalu, ada sebanyak 1,500 orang Pas tidak begitu bersetuju dengan calon Pas dulu kerana mereka mahu seorang calon tempatan atau anak jati Terengganu. Namun pada kali ini aspirasi itu ditunai. Di dalam masa yang sama pula, gerak kerja BN khususnya Wanita UMNO sudah diarah bersatu hati bagi menjalankan tugas dan arahan ini diperhatikan tetapi bukan sesuatu yang mudah. Semua pun faham. PM sendiri sudah memberi arahan jangan berkempen untuk diri sendiri, arahan ini ada kaitan dengan pemilihan UMNO sendiri pada bulan Mac yang akan datang. Elemen-elemen yang ada kaitan dengan cantas-mencantas didalam UMNO sendiri kedengaran. Jikalau kita bercakap bersama dengan pemimpin UMNO, suatu perkara yang lumrah di setiap pemilihan parti dalam UMNO, dalam kertas, BN mempunyai peluang tetapi dalam risikan penulis, Pas & PR mempunyai harapan yang besar. Begitulah proses demokrasi.



Tinjauan Penulis – di Sabah

Tinjauan penulis mengenai persepsi pelbagai kelompok masyarakat di Sabah adalah berbeza-beza. Masyarakat Islam di seluruh negeri ini yang telah menyertai UMNO tidak mudah membuat keputusan untuk membuat pilihan selain UMNO. Ada beberapa faktor-faktor mereka berbuat demikian. Diantaranya ialah UMNO ini adalah part Islam. Pemimpin UMNO adalah orang Islam. Disamping itu pula mereka mahu ketua menteri itu orang Islam. Indoktrinasi ini telah terpacak didalam hati sejak awal dulu oleh pemimpin terawal mereka seperti Tun Mustapha, Tun Said, Tun Sakaran dan kader-kader mereka semenjak memerdekakan negeri ini dahulu dan membina negara Malaysia. Bahtera perjuangan dahulu ialah Usno. Apabila Usno terbubar akibat perhitungan politik Kuala Lumpur serta teknikal politik yang lain maka dengan sendirinya UMNO berkeupayaan melebarkan sayapnya dan bertapak di negeri ini dengan cukup gah. Slogannya cukup menarik iaitu memertabatkan kekuasaan Islam. Strategi yang paling ampuh. Kuasa politik, pembangunan dan habuan projek serta limpahan kewangan terus menjadi sasaran. Perkara ini baik, halal dan glamor. Ini bukan baru malah telah lama berakar didalam intipati pengisian kemerdekaan. Evolusi perubahan tetap bergerak dan manusia terus memadankan dan menyesuaikan diri jikalau tidak terpingir oleh perubahan itu sendiri. UMNO tidak mudah dikalahkan di Sabah dalam PRU-13 akan datang. Bukan mudah tetapi tidak mustahil. Dengan gelombang perubahan politik serta lanskap politik terlakar sekarang ini semua kumpulan membuat perhitungan berpaksikan kepada fakta-fakta serta agenda-agenda yang digarab sesuai dan relevan dengan keperluan semua pihak.
Kelompok lain pun sudah membuat sifir politiknya yang tersendiri. Rakyat sudah menghafal sifir politik yang kurang sihat. Masyarakat Cina di Sabah sudah merasakan kehadiran pelbagai jenama parti baik yang berpusat di Sabah atau KL cukup memeriahkan BN di Sabah. Tetapi UMNO tetap UMNO. Jikalau SAPP tetap berada dalam BN ia tidak mungin dinamik dan efektif. Ianya hanya sebagai penyeri politik. Ia perlu melakarkan perjuangan sejati. Sekarang masyarakat Cina di Sabah sudah memuktamadkan pilihan akan datang. Penulis mengamatinya dengan lawatan diseluruh pekan dan pusat bandar bahawa ianya begitu jelas. Ibarat kata pepatah lama orang-orang Dusun 'tunduk-tunduk kerbau dalam masa mengangguk dan tunduk hanya menuggu masa melaksanakan tandukan'.

Dikalangan masyarakat KDM pula mereka boleh ditemui disemua parti-parti politik baik didalam BN atau pembangkang. Lihat sahaja didalam parti BN sendiri. Mereka berada dalam UMNO dan Pas. Mereka boleh menyesuaikan diri. Apa motifnya penulis faham. KDM juga ada didalam MIC sebab berkahwin dengan orang India. Apa lagi MCA lebih serasi, kerana berada dalam BN, parti kerajaan. Penulis juga mengamati bahawa mereka terpecah didalam tiga Parti. PBS, UPKO dan PBRS. Pengalaman ini cukup berharga kata mereka. KDM pernah bersatu dalam PBS. Kini kedengaran sudah gelombang kebangkitan mereka dan masyarakat KDM khusunya orang muda, yang telah bersara dari jabatan kerajaan dan para graduan bahawa ‘pembentukan kerajaan baru' didalam PRU-13 akan datang adalah agenda terbaik. Itulah hakikatnya sekarang. Lagu ini begitu menggamit dan menarik. Formulanya mudah sahaja kata mereka. Tidak perlu keluar parti. Tidak perlu istihar lawan kerajaan. Semuanya telah dirasai. Pahit, tersisih dan disisih. Terpinggir dan dipinggir. Tidak perlu rasa rendah diri tetapi bangkit bersama dengan gelombang perubahan yang ada sekarang. Ini suatu evolusi proaktif dan progresif. Tahniah. Berbisiklah dengan penuh beradab dan berdoalah kearah kebaikan perubahan dan keadilan sesama rakyat negara ini serta perlaksanaan perjanjian Malaysia sejati.



Pilihanraya Dun Sarawak

Negeri Sarawak adalah kubu kuat BN. Tidak pernah tewas. Politik negeri Sarawak ada sejarahnya yang tersendiri. Peristiwa yang ada kaitan dengan personaliti pemimpin terawal mereka Dato Stephen Kalong Ningkan begitu mencuit perasaan kepada setiap pelajar undang-undang di universiti tempatan. Jikalau dilihat sebenar jumlah penduduk terbesar Sarawak adalah suku kaum Dayak. Bangsa Dayak Sarawak didalam hati kecil mereka mahu memimpin negeri Sarawak. BN Sarawak setakat ini belum tergugat dan belum tercemar. Sarawak tidak mahu melihat dimana ia menjadi macam Sabah. Itulah sentimen dan senjata politik BN Sarawak.

Sungguhpun pilihanraya Dun Sarawak masih jauh pada 2010 namun bahangnya sudah terasa. Pemimpin-pemimpin parti politik Sarawak sedang meneliti dan mengikuti perkembangan BN di Semenanjung. Mereka meneliti apakah 5 buah negeri yang dikuasai PR boleh dikuasai semula oleh BN. Sebenarnya Sarawak lebih mantap dari Sabah dari segi ekonominya. Ketua Menterinya ditentukan oleh orang Sarawak sendiri. Ia bukan ditentukan oleh Kuala Lumpur. Perkara ini menjadi satu isu yang hangat, perbandingan suka atau tidak, sememangnya pemimpin politik dikedua-dua buah negeri ini sering bertukar maklumat dan pendapat. Orang Sabah pun mempunyai perasaan dan bertanya sesama mereka mengapa perkara sebegini berlaku. Jadi Parti Nasional yang mahu bertapak di Sarawak akan mengambil kira perkiraan politik sebegini. Rumit tapi benar. Parti PBB adalah parti dominan. SNAP adalah parti terawal namun sudah hilang kuasa malah terbelah kepada SPDP. PBDS adalah satu parti yang cukup kuat sudah terbubar kini menjadi PRS. PBB sebenarnya merupakan sebuah gabungan sokongan Melanau dan Iban. Kalau dilihat didalam kertas, kawasan PRS, SPDP dan Iban di PBB sebenarnya Dayak dengan sendirinya mendominasi gelanggang politik Sarawak. Dan masyarakat Cina macam juga di Sabah, kawasannya sedikit tetapi menjadi pencatur utama. Setelah hampir setengah abad perubahan minda pemimpin Dayak sentiasa bergema dan bergelora untuk mencapai ke puncak pimpinan negeri. Semangat ‘Agi Idup, Agi Ngelaban’ tetap membara. Justru itu, keputusan PRK-KT tetap menjadi paksi inspirasi politik Sarawak.
Iktibar Dari Kehadiran UMNO Di Sabah

Dalam pojok yang sama di media yang sama pada bulan Mac tahun lalu, penulis telah menyatakan bahawa pengundi Sabah tidak menjangkakan keputusan PRU-12 sedemikian rupa. Rakyat telah dihambat dengan suatu sindrom kesetiaan membuta dan mungkin masih mengalami fobia politik semasa PBS berada di luar BN.

Namun kehadiran UMNO di Sabah banyak juga pengajarannya. Seperti yang dilalui sekarang ini, jikalau rakyat Sabah dan Sarawak mengamatinya secara mendalam ia akan menjadi pencorak dan pencatur utama di dalam menentukan kepimpinan politik negara. Lihat saja dalam proses pemilihan UMNO sekarang ini, siapa saja perwakilan daripada Sabah pilih, calon tersebut akan mempunyai peluang yang cerah. Ini kan baru di Sabah. Jikalau kedua-duanya sekali tentu lebih menarik.

Jikalau dibandingkan UMNO dan PKR di Sabah penulis berpendapat bahawa PKR mungkin menerima sokongan yang kuat sebab ia adalah parti berbilang kaum. Sesungguhnya selera ini sudah berputik dan meluas. Ditambah pula ketua umumnya menjanjikan pemerkasaan Perjanjian Malaysia agar dihormati dan dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah satu tarikan harapan kepada pengundi-pengundi di Sabah. Kita yakin begitu juga di Sarawak. Dan banyak lagi.



Sistem Dwi Parti

Baru-baru ini Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin menyatakan di Sabah bahawa kerajaan akan menjadi telus dengan adanya sistem dwi parti, BN dan PR. Walaupun system dwi parti ini ialah isu yang basi tetapi hakikatnya, ia mulai diterima. Saya bersetuju dengan pandangan ini. Sungguhpun BN adalah gabungan pelbagai parti apabila dalam pilihanraya, ia menggunakan simbol yang sama. Manakala dalam PR pula menggunakan lambang berasingan tetapi cuba mencorakkanpertanding satu lawan satu dalam PRU-12.

Keberhasilan ‘electoral understanding’ Pas, PKR dan DAP di Semenanjung begitu meyakinkan dan kekalutan di Sabah membawa suatu pengajaran untuk PRU-13. Dan orang-orang Sabah harus mengambil ikhtibar semasa PRU-12 yang lalu.



Dasar Negara

Pengurusan negara akan terus diperbaiki daripada masa ke semasa. Dasar sesebuah negara boleh diperbaiki melalui pertukaran pucuk pemimpin. Pertukaran pucuk pemimpin kelak akan menggarapkan barisan kepimpinan kabinetnya sebagai satu pasukan. Mungkin juga melibatkan diperingkat negeri. Ini adalah suatu perkara lumrah dalam politik. Setelah kerajaan menjangkau pemerintahan selama lebih setengah abad, banyak perubahan telah berlaku. Dengan arus perkembangan sistem Dwi-Parti serta perubahan selera politik dan juga minda rakyat, kemunculan PR sebagai pilihan adalah suatu perkembangan elemen yang sihat. Ini merupakan suatu arus kecemerlangan dan kebiteraan politik negara serta elemen Pembangunan Negara Bangsa. Penulis mengucapkan selamat tahun baru dan teruskan perjuangan dengan agenda baru.
‘Didalam melaksanakan setiap agenda ada 3 jenis manusia. Pertama adalah orang yang berusaha merealisasikan agenda. Kedua ialah kumpulan yang hanya melihat usaha orang lain dan ketiga ialah kumpulan yang hanya berangan-angan apa yang akan terjadi’. Ini adalah ilham daripada Kemmons Wilson, pengasas, Holiday Inn. Begitulah juga dalam politik.

No comments: